Meskipun teori-teori Barat itu mempunyai banyak kekuatan dan nilai praktikal, namun ada aspek-aspek khusus pada teori-teori Barat itu yang tidak selaras dengan nilai-nilai budaya tempatan, dan ada pula aspek yang bertentangan dengan hukum-hukum dalam agama Islam.
Biarpun tidak selaras dan bertentangan dengan agama, modul-modul Barat itu terus diajarkan kepada peserta tempatan. Keadaan ini bukan disebabkan trainer-trainer tempatan tidak tahu akan kelemahan-kelemahan itu, tetapi disebabkan oleh perjanjian pelesenan, di mana pemegang francais tidak diizinkan mengubah mana-mana komponen dalam modul yang dilesenkan.
Contoh-contoh kelemahan dalam modul Barat:
Contoh 1: Modul komunikasi dan ucapan public-speaking yang dilesen dari Amerika melatih peserta supaya menyebut nama-diri orang kedua. Ini adalah peraturan komunikasi dalam budaya Amerika. Walaupun trainer tempatan tahu ini adalah perbuatan biadab dalam budaya Timur, namun hal itu tetap dilatihkan kepada peserta kerana isu perjanjian pelesenan.
Contoh 2: Aktiviti dan proses recall apabila ia menyebabkan berlakunya perbuatan mendedahkan aib sesiapa sahaja, maka aktiviti recall yang seperti itu hukumnya haram, namun aktiviti recall tetap dijalankan kerana isu perjanjian pelesenan.
Contoh 3: Aktiviti dan proses group-critique apabila ia menyebabkan ada seseorang yang jatuh maruahnya di hadapan orang lain, maka aktiviti seperti itu hukumnya haram. Budaya Asia pula tidak membenarkan kritikan terbuka, meskipun banyak trainer tempatan tidak selesa dengan aktiviti group-critique, aktiviti itu tetap dijalankan semata-mata kerana isu perjanjian pelesenan.
Contoh 4: Dalam modul komunikasi interpersonal Barat, peserta didorong dan dilatih supaya melakukan direct eye-contact. Namun dalam Islam direct eye-contact tidak boleh dilakukan antara lelaki dan perempuan. Dalam budaya Melayu pula, direct eye-contact tidak boleh dilakukan oleh orang bawahan kepada orang atasan kerana perbuatan itu hanya dilakukan dalam situasi konflik terbuka, yakni apabila orang bawahan mencabar orang atasannya.
Isu-isu perbezaan nilai-nilai budaya dan hukum-hukum agama mendorong kami menubuhkan tim penyelidik bagi menggali strategi, pendekatan, teknik dan tool-tool yang digunakan oleh Nabi Muhammad apabila beliau membangunkan sumber tenaga manusia di sekeliling beliau.