Abdullah bin Abi Aufa melaporkan bahawa Abdul Rahman bin Auf
pernah mengadu kepada Nabi Muhammad tentang Khalid al-Walid. Lalu Nabi
Muhammad berkata kepada Khalid, "Wahai Khalid, janganlah saudara
menyakiti lelaki yang menjadi anggota tentera Perang Badar. Andai kata
saudara bersedekah dengan emas sebesar Gunung Uhud, tentu saudara masih
tidak dapat menyaingi amalannya." Khalid al-Walid pun berkata, "Wahai
Rasul Allah, mereka menuduh saya, sedangkan yang dimaksudkan adalah
mereka." Nabi Muhammad berkata, "Janganlah menyakiti Khalid,
sesungguhnya dia adalah pedang daripada pedang-pedang Allah 'azza wa
jalla. Allah menghantarkan dia bagi memerangi orang-orang kafir." - Hadith ini direkodkan dalam koleksi hadith-hadith autentik Ibn Hibban
Dalam sesebuah oragnisasi, sama ada parti politik, persatuan mahupun syarikat ada dua peringkat perpaduan:
1. Perpaduan dalam kalangan anggota barisan kepimpinan
Mereka yang berada dalam posisi barisan kepimpinan adalah tokoh-tokoh
yang memegang jawatan-jawatan penting dalam organisasi. Disebabkan
jawatan-jawatan itu penting, maka lazimnya mereka yang terpilih mengisi
jawatan-jawatan itu adalah individu-individu yang berbakat dan
berpengaruh.
Menjaga perpaduan dalam barisan kepimpinan adalah sangat kritikal.
Disebabkan mereka adalah individu-individu yang berpengaruh, apabila
perpecahan berlaku dalam kalangan ini, perpecahan itu akan merebak ke
dalam setiap lapisan anggota pertubuhan.
2. Perpaduan dalam kalangan anggota biasa
Golongan ini adalah anggota biasa, yakni mereka yang tidak mengisi
jawatan-jawatan penting. Golongan ini lazimnya tidak memiliki bakat
kepimpinan, dan tidak memiliki daya pengarauh yang tinggi.
Anggota-anggota biasa lazimnya mudah terpengaruh oleh
individu-individu yang duduk dalam barisan kepimpinan. Apabila barisan
kepimpinan berpecah, golongan ini pasti berpecah.
Khalid al-Walid dan Abdul Rahman bin Auf adalah dua nama besar dalam
sejarah Islam. Kedua-duanya termasuk dalam senarai 10 orang yang
dijamin masuk syurga. Hadith di atas melaporkan peristiwa apabila 2
orang tokoh itu berkonflik. Bagi menamatkan konflik antara Khalid
al-Walid dan Abdul Rahman bin Auf, Nabi Muhammad memberitahu mereka
berdua bahawa masing-masing sama-sama tidak boleh disakiti. Alasan
yang diberitahukan adalah disebabkan mereka berdua sama-sama telah
memberikan jasa yang besar kepada oragisasi, dalam hal mereka itu,
jasa mereka adalah kepada perjuangan Islam.
Strategi Nabi Muhammad:
1. Mengalihkan pandangan kedua-dua pihak yang bermusuhan itu daripada
melihat kelemahan dan kesalahan musuhnya kepada melihat kehebatan dan
kemuliaan musuh. Ini dilakukan supaya perasaan benci-membenci dialihkan
kepada perasaan saling hormat-menghormati dan kagum-mengagumi.
Dalam peristiwa itu Nabi Muhammad memberitahu kehebatan dan kemuliaan
Khalid al-Walid kepada Abdul Rahman bin Auf, dan menerangkan kehebatan
dan kemuliaan Abdul Rahman bin Auf kepada Khalid al-Walid.
Kepada Khalid al-Walid Nabi Muhammad berkata:
"Wahai Khalid, janganlah saudara menyakiti lelaki yang menjadi
anggota tentera Perang Badar. Andai kata saudara bersedekah dengan
emas sebesar Gunung Uhud, tentu saudara masih tidak dapat menyaingi
amalannya."
Kepada Abdul Rahman bin Auf Nabi Muhammad berkata: "Janganlah
menyakiti Khalid, sesungguhnya dia adalah pedang daripada
pedang-pedang Allah 'azza wa jalla. Allah menghantarkan dia bagi
memerangi orang-orang kafir."
2. Menukar perasaan sakit hati dan benci terhadap musuhnya kepada perasaan menghormati, memuliakan dan mengagumi musuhnya.
Dalam peristiwa di atas, Nabi Muhammad sama sekali tidak bertanya
tentang apa yang sebenarnya telah berlaku sehingga menyebabkan 2 orang
tokoh itu sakit hati dan berkonflik. Sebaliknya beliau menerangkan
kehebatan masing-masing. Teknik yang beliau gunakan adalah menggantikan
perasaan sakit hati kepada perasaan suka dan puas hati hasil menerima
pujian daripada pucuk pimpinan.
3. Memperkenalkan peraturan interaksi sosial yang dikenakan ke atas kedua-dua belah pihak.
Dalam peristiwa itu Nabi Muhammad memberitahu Abdul Rahman bin Auf
supaya tidak menyakiti Khalid dal-Walid, dan memberitahu Khalid al-Walid
supaya tidak menyakiti Abdul Rahman bin Auf.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan